Seorang rakan saya bertanya, bagaimana saya mencari masa untuk membaca buku. Ya, membaca buku. Kalau sesetengah daripada kita tidak sanggup untuk membelanjakan sedikit wang untuk membeli buku, apatah lagi untuk membaca buku.
Kehidupan saya sekarang ini, dari waktu siang hingga petang digunakan untuk ke kelas dan belajar. Di sebelah petang sehingga malam pula, saya ke kelas untuk mengajar. Apabila sampai bilik, jam sudah menunjukkan hampir 11 malam.
Persoalannya, bagaimana saya mencari masa untuk membaca buku dengan jadual harian yang padat? Ada pelbagai cara yang boleh digunakan bagi mencari waktu yang sesuai untuk membaca. Bergantung sama ada kita pandai mencari waktu tersebut atau tidak.
Berikut adalah teknik- teknik yang saya gunakan bagi mengisi setiap detik yang berlalu dengan membaca:
1) Pastikan ada sebuah buku di dalam beg saudara. Sediakan satu bahan bacaan wajib berada bersama- sama saudara walau ke mana sahaja saudara pergi.
2) Ketika saudara sedang menunggu bas, tren Putera atau Komuter, isi masa tersebut dengan membaca. Apabila menunggu pensyarah datang ke kelas, ambil sebuah buku dan baca.
3) Daripada duduk atau berdiri di dalam bas atau tren tanpa melakukan apa- apa, lebih baik saudara isi masa tersebut dengan membaca. Di Jepun, menjadi satu budaya bagi rakyat di negara Matahari Terbit itu untuk membaca buku atau surat khabar semasa menunggu.
4) Bacalah buku yang mampu menarik minat saudara. Apabila tercetusnya minat, secara tidak langsung ia dapat membangkitkan kekuatan diri untuk menyiapkan sesuatu pekerjaan. Begitu juga dengan membaca. Apabila saudara minat pada buku tersebut, sudah tentu saudara akan cepat menghabiskan buku itu.
5) Letakkan matlamat diri bagi menghabiskan sebuah buku dalam tempoh tertentu. Jika terlalu sibuk, letakkan satu sasaran untuk menghabiskan beberapa helai muka surat di dalam sesebuah buku.
6) Jutawan Internet, Dr. Irfan Khairi menyarankan sekurang- kurangnya sejam setiap hari digunakan untuk membaca. Bagi saya pula, saya menggunakan masa selama setengah jam setiap hari untuk membaca. Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk melakukan sesuatu, terpulang kepada diri masing- masing.
Ini antara panduan- panduan yang saya boleh kongsi bersama. Memetik kata- kata daripada Saidina Ali, “Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.” Oleh itu, baca, baca dan teruskan membaca.
Oktober 20, 2009 at 2:43 am |
abang… update la ur blog.. i love 2 read tulisan abg.. love u. muah