Kalau diikutkan, ingin sahaja saya ponteng kelas pada pukul 11 pagi tadi.
Oleh kerana saya seorang sahaja lelaki, ditambah dengan bilangan kelas yang telah saya ponteng baru- baru ini, saya batalkan sahaja niat tersebut.
Hari ini, salah seorang sasterawan negara yang terkenal, berkunjung ke UIAM.
Hadir bukan untuk berceramah, datang untuk berkongsi rasa suka dan duka beliau selama bergelar pembaca, penulis dan sasterawan.
Tidak pernah saya duga, saya berkesempatan untuk menemui Prof. Dato’ Dr. A. Samad Said hari ini.
Program yang berlangsung selama satu jam setengah, tetapi saya sempat mendengar beliau bercerita selama setengah jam sahaja.
Hai… Rasa rugi pula tidak ponteng kelas pagi tadi. Tidak mengapalah.
Walaupun sekejap, banyak kata- kata yang beliau sampaikan, banyak isi- isi yang saya berjaya kutip, dan saya berasa kagum dari penceritaan perjalanan hidup beliau.
Saya sangkakan beliau bercakap di dalam Bahasa Indonesia, rupanya bahasa yang diguna pakai merupakan Bahasa Melayu standard.
Bercakap dalam nada yang serba merendah diri.
Kini berusia 72 tahun, hati saya terdetik untuk bertanya “Berapa bilangan buku yang Pak Samad sudah habis baca? Berapa karya yang telah Pak Samad hasilkan dari dulu hingga kini?”
Dalam pelbagai topik yang beliau ketengahkan, saya tertarik dengan isu membaca.
Terpacul keluar dari mulut beliau kata- kata pedas berbunyi begini “Kalau hendak jadi bodoh, jangan membaca.”
“Jangan lokek untuk membeli buku dan membaca.”
“Tidak perlu membaca buku yang banyak, memadai dengan membaca buku yang berharga (berkualiti).
“Pembacaan membantu untuk berhadapan dengan manusia yang pelbagai ragam.”
Saya amat bersetuju dengan beliau. Wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berbunyi “Bacalah!”
Yang menghairankan, tidak ramai daripada kita suka membaca.
Rata- rata kawan saya suka membaca buku akademik, semata- mata untuk lulus cemerlang di dalam peperiksaan.
Setelah membaca, dihafal keseluruhan. Habis ujian, apa yang telah dihafal ditinggalkan begitu sahaja.
Ada sesetengah rakan saya suka membaca buku hiburan, senang untuk mengetahui perkembangan terkini dunia hiburan di dalam dan di luar negara.
Ada juga rakan yang suka membaca majalah yang bersesuaian dengan hobi mereka.
Bilangan rakan yang gemar membaca bahan bacaan ringan berteraskan ilmu pengetahuan, saya boleh bilang dengan jari sahaja.
Saya berfikir, termenung, ‘terbang’ di awang- awangan berusaha mencari jawapan mengapakah sebilangan besar daripada kita masih tidak minat membaca?
Rupa- rupanya, persoalan saya terjawab ketika berada di sisi Pak Selamat tengah hari tadi. Beliau berkata “Hendak jadi pandai atau bodoh, terpulang pada diri sendiri.”
Saya fikir sekali lagi, tersenyum sendirian… Benarlah kata- kata beliau, hanya kita, diri kita sendiri yang boleh membuat keputusan.
Banyak duit habis berkempen untuk menanam minat membaca di kalangan kita…
Boleh menjadi suatu pembaziran seandainya kita sendiri memang tidak mahu membaca, tidak minat membaca.
Kepada Pak Samad, terima kasih kerana membantu saya menjawab teka- teki yang sudah lama bersarang di kepala ini. Terima kasih!