RSS

Coretan Daripada Si Jaga

29 Jun

Empat malam yang lalu, saya berpeluang menyelinap keluar dari universiti dan menghabiskan sisa malam tersebut dengan membaca buku di sebuah restoran mamak yang terletak di Taman Melati dari pukul 12:40 malam sehingga 4 pagi.

Alhamdulillah, buku yang baru dibeli habis dibaca dalam masa satu malam. Bosan menunggu sahaja di restoran tersebut, saya pun beredar dan merayau seorang diri tanpa tujuan di sekitar kompleks kedai yang berhampiran.

Sedang berjalan, saya bertemu dengan seorang jaga yang sedang membetulkan walkie- talkie beliau. Lantas, saya menyapa abang jaga tersebut dan memperkenalkan diri.

Agaknya beliau keseorangan, tanpa teman seperti saya, perbualan kami berakhir pada pukul 6:15 pagi.

Macam- macam yang kami bincangkan. Abang jaga ini bernama Azhari (bukan nama sebenar) berumur 34 tahun dan baru berkecimpung dalam kerja ini selama setahun lebih menjaga premis kedai di Taman Melati.

Pertemuan pada malam tersebut mengajar saya erti sebenar apakah yang dimaksudkan seorang ‘jaga’.

Selama ini, saya menganggap jaga hanyalah bekerja sebagai seorang jaga. Menjadi penjaga di sesebuah tempat, kalau tidur di situ pun asalkan jaga, majikan tidak akan melenting. Gaji tidak akan ditolak sebab tiada sesiapa yang berminat mengambil tahu kerja mereka.

Rupanya selama ini saya silap. Benarlah kata pepatah bahasa Inggeris yang berbunyi “Don’t judge the book by its cover” (Jangan menilai sesebuah buku dari kulitnya sahaja)

Seeloknya, kita halusi sesuatu benda atau perkara dari pelbagai sudut, bukan dari aspek luaran sahaja.

Abang Azhari menyatakan gaji yang beliau terima hanyalah RM4.50 sejam. Sekiranya saudara kerja di kedai buku Kinokuniya sebagai seorang staff bawahan pun saudara akan dibayar RM5 sejam.

Gaji Abang Azhari dibayar murah, tidak berbaloi dengan kerja beliau yang menuntut nyawanya pada bila- bila masa sahaja.

Memulakan kerja pada pukul 7 malam dan berakhir 7 pagi pada keesokan harinya. Bekerja selama 12 jam, berbaju biru, berseluar gelap meronda sambil memegang lampu suluh berbekalkan cota dan walkie- talkie.

Berehat selama sejam, itu pun kalau ada rakan yang boleh mengambil alih tempat beliau berjaga berulah Abang Azhari boleh pergi berehat.

Sekiranya beliau menjaga seorang diri disebabkan rakan sekerja tidak datang, terpaksalah beliau bekerja sambil makan.

Dua minggu yang lalu, salah sebuah kafe siber yang terletak di kawasan rondaan beliau dimasuki pencuri. Duit yang dicuri dari kaunter adalah RM1000, duit yang dicuri daripada 8 orang pelanggan yang berada di kafe tersebut… Sehingga kini pihak polis tidak dapat menganggarkan kerugian tersebut.

Sudahlah duit dikebas, telefon bimbit daripada setiap orang yang berada di tempat kejadian pun dicuri. Kecurian tersebut berlaku pada pukul 4 pagi.

Walaupun pihak kafe siber tersebut menuntut ganti rugi RM5500 daripada tuan kedai, Abang Azhari berkata kemungkinan besar jumlah kerugian adalah lebih besar daripada angka tersebut.

Kecurian tersebut dilakukan oleh tiga orang budak sebaya saya, tanpa memakai topeng langsung dan bersenjatakan sebilah parang dan sebatang kayu.

Abang Azhari berasa pelik mengapa sembilan orang (lapan orang pelanggan dan seorang pekerja) tidak mampu untuk melawan tiga orang yang badan juga lebih kurang saiz saya.

Padahal 9 mangsa adalah jauh lebih tua dan berbadan dua kali ganda daripada 3 orang penyangak itu.

“Mungkin diorang panik dan takut diapa- apakan,” kata saya kepada Abang Azhari. Abang Azhari tidak menolak sebab tersebut. Abang Azhari hanya mengetahui kes kecurian tersebut setelah 15 minit polis tiba di tempat kejadian.

Saya bertanya kepada beliau adakah pihak kafe siber tidak mempunyai siren ataupun cara lain untuk memberitahu kepada pihak sekuriti bahawa mereka sedang berhadapan dengan masalah.

Abang Azhari berkata “Memang tiada. Diorang pun tiada CCTV untuk kami pantau. Baru sekarang nak pasang. Tuan kedai, polis dan orang ramai yang tahu kes ini anggap kami (pihak sekuriti) tidak menjalankan tugas. Sedangkan setiap 30 minit kami akan bergilir- gilir membuat rondaan.”

Sebelum kes kecurian itu berlaku, beliau tidak nampak kelibat sesiapa pun yang mencurigakan. Namun, apakan daya.

Sekuat mana beliau menjerit untuk memberitahu hal sebenar, tiada sesiapa yang ingin mendengar kerana beliau hanyalah seorang jaga.  

Malah, beliau juga sudah berkali- kali menangkap pasangan bercinta yang melepaskan nafsu di tepi tangga kedai. Siang dan malam, ada sahaja pasangan yang silih berganti. Kadang- kadang, muka yang sama juga muncul kembali. 

Persepsi pertama kebanyakan daripada kita apabila sesebuah tempat dimasuki pencuri, kita akan menyalahkan si jaga dahulu.

Itulah pengalaman pahit yang terpaksa ditelan oleh Abang Azhari dalam meniti kehidupan sebagai seorang jaga.

Terjumpa lalu menangkap pasangan yang sedang sibuk memadu asmara, haruslah mendapat bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak.

Takkanlah hendak menunggu sang jaga membuat panggilan dan aduan barulah pihak lain ingin bertindak?

Ketahuilah saudara sekalian, seorang jaga dibayar tidak setimpal dengan kerja yang diberikan, nyawa pada bila- bila masa sahaja boleh melayang, insurans hanya mampu menampung untuk kehidupan seorang jaga seorang. Bagaimana pula dengan isteri dan anak- anak beliau?

Mata seorang jaga haruslah ‘berjaga’ juga, badan mesti kuat untuk melakukan rondaan dalam tempoh 12 jam. “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.

 
Tinggalkan komen

Posted by di Jun 29, 2007 in Tokoh

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: