RSS

Perhatian! Perhatian! Perhatian!

10 Sep

Seorang peniaga yang menghantar anak beliau ke taska ibu saya, mengadu mengapa anak bongsu beliau tidak mendengar kata. Si anak baru berumur empat tahun, sudah mula pandai buat perangai.

Anak adalah anugerah dari Allah, ternyata bukan mudah hendak menjadi ibu bapa. Ibu saya pernah berkata “Apabila kau kahwin, Aliff, macam- macam tanggungjawab datang. Tanggungjawab paling berat yang kau kena pikul adalah mendidik anak.”

Ibu pun bercerita panjang- lebar tentang perihal si anak, barulah saya faham mengapa si anak tidak mahu mendengar cakap si ibu.

Masalah asas yang saya nampak daripada cerita ibu ialah si anak, Fatihah (bukan nama sebenar) tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada emak beliau, Puan Ika (bukan nama sebenar).

Emak kepada si anak bekerja sebagai peniaga makanan, membuka gerai seawal jam 11 pagi dan tutup pada pukul 12 malam setiap hari.

Sebelum Fatihah datang ke taska ibu, Puan Ika akan menghantar anak beliau ke Pusat Pendidikan Smart Reader.

Puan Ika sanggup menghabiskan duit yang banyak menghantar anak beliau ke institusi swasta semata- mata untuk melihat anak beliau yang masih kecil berjaya di dalam pelajaran.      

Apabila jam menunjukkan pukul 12 tengah hari, barulah si anak ini akan datang ke taska ibu.Duduk dan belajar di taska ibu sehingga pukul 7 malam.

Mungkin Puan Ika sibuk melayan pelanggan di gerai beliau, akibatnya si anak terpaksa dihantar oleh salah seorang cikgu ibu saya setiap hari.

Kadang- kadang Puan Ika berjanji beliau akan menunggu Fatihah di pintu taska apabila tamat pelajaran.

Janji tinggal janji sahaja. Selepas habis belajar di taska ibu saya, Fatihah akan dibiarkan bermain di gerai Puan Ika.

Si ibu tidak habis bekerja, maka si anak bermain dengan abang dan kakak beliau.

Masa untuk si ibu bermanja dengan Fatihah? Mungkin, selepas si ibu tutup gerai pukul 12 pagi. Pada hari Sabtu juga, Puan Ika menghantar anak beliau ke taska ibu.

Wah! Memang banyak pelanggan agaknya sebab itulah anak beliau dihantar dari Isnin sehingga Sabtu.

Pada hari Sabtu, tiada pelajaran yang akan diajar.Mana- mana budak yang datang pada hari ini, diberi permainan untuk bermain dan makanan untuk dijamah.

Saya dengar cerita ibu, dalam kepala berfikir, mencari bilakah masa yang Puan Ika gunakan untuk bermanja bersama Fatihah.

Difikir kembali, patutlah Fatihah tidak mendengar kata, degil. Kurang perhatian daripada si ibu, inilah kesan awal yang dapat dilihat.

Si anak umpama kain putih, ibu bapa bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Secara tidak langsung, ibu bapa adalah guru pertama di dalam hidup kanak- kanak.

Saya pernah terdengar pujangga yang tiada nama berkata “Apabila orang tua tidak mampu menjaga anaknya, negara menghadapi kesulitan menjaga anak itu di jalanan.” 

Daripada masalah keluarga, mampu merebak menjadi masalah negara.

Kasihan Puan Ika, lain yang beliau inginkan, lain pula yang jadi. Kasihan… Seorang anak memerlukan perhatian ibu bapa.

Walau sesibuk mana pun, carilah kesempatan. Luangkan masa bersama si anak. 

 

 
Tinggalkan komen

Posted by di September 10, 2007 in Diari PDAJ

 

Tinggalkan komen