RSS

Kemahuan Ibu Bapa pada Si Anak: Positif atau Negatif?

26 Feb

Sedang saya rancak berbual dengan ibu, tiba- tiba beliau menyuarakan sesuatu yang pernah membuatkan saya berada di dalam dilema seketika.

“Aliff, si Adib nak jadi chef,” kata ibu. Nada suara yang lemah dan sayu, dapat rasa seolah- olah ibu tidak merestui hasrat adik saya yang ketiga untuk menjadi seorang tukang masak.

Kini, Adib berada di Tingkatan Lima, menduduki di dalam aliran Sains Tulen. Mungkin salah satu faktor yang menyebabkan ibu mengeluh panjang ialah seorang pelajar Sains Tulen bercita- cita untuk menjadi seorang chef.

Apa yang ibu impikan, beliau berharap adik saya yang ketiga ini akan bergelar seorang doktor perubatan suatu hari nanti. Kami sekeluarga terkejut dengan pilihan beliau yang ingin menjadi tukang masak.

Ibu berkata kalau hendak menjadi tukang masak, boleh belajar daripada nenek sebelah arwah ayah. Tidak perlu berhempas- pulas untuk mendapatkan gred A yang berderet dan terlibat secara aktif di sekolah.

Terus- terang, saya pun sebenarnya tidak berapa berkenan dengan cita- cita adik saya yang ketiga ini. Bukan kerana mutu, cabaran, faedah pekerjaan sebagai seorang chef, tetapi bagi saya, sesiapa pun boleh menjadi chef.

Chef Wan yang terkenal dan pernah memasak untuk Sultan Brunei dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton menjadi seorang tukang masak namun beliau mempunyai kelulusan di dalam bidang undang- undang.

Allahyarham Sudirman Haji Arshad merupakan seorang penyanyi yang terkenal dengan lagu “Merisik Khabar”. Sebelum beliau menceburi karier seorang penyanyi, beliau merupakan graduan yang mempunyai ijazah perundangan.

Dulu, saya merupakan seorang pelajar dari Jabatan Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan, UIAM. Disebabkan saya tiada minat dan hanya mengikut kemahuan ibu tanpa memikirkan kesan jangka panjang, akhirnya hampir setahun masa saya terbuang.

Terbuang kerana tidak mempunyai pendirian sendiri. Seperti Adib, ibu juga melahirkan kekecewaan apabila saya menyuarakan hasrat untuk menjadi pelajar Komunikasi Media. Ibu berharap saya akan menjadi seorang guru atau pensyarah.

Setelah saya bertukar jurusan, hampir sebulan lamanya hubungan kami anak- beranak menjadi dingin. Namun, saya berjaya buktikan kepada beliau bahawa saya boleh berjaya walaupun saya tidak mengikuti kehendak beliau.

Pendapat saya, apabila kita berada di bawah jagaan ibu dan ayah, hampir semua keputusan dimonopoli oleh ibu bapa, bukan si anak. Mereka menginginkan sesuatu tanpa memikirkan kesan positif dan negatif bagi jangka masa panjang.

Akibatnya, si anak menjadi mangsa. Kalau si anak menginginkan sesuatu, seeloknya beliau mencuba pelbagai pendekatan seperti perbincangan dan perjanjian bagi membuatkan ibu bapa memahami keinginan anak- anak.

Apa yang kita lakukan demi kesempurnaan anak kita, akan menjadi penentu hidup masa depan mereka. Jangan disebabkan apa yang kita mahukan, si anak menjadi subjek eksperimen sehingga menanggung akibat untuk suatu tempoh yang lama.

Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak bahasa, binasa. Terlajak masa, buruk padahnya.

 
3 Komen

Posted by di Februari 26, 2008 in Kisah Hidup

 

3 responses to “Kemahuan Ibu Bapa pada Si Anak: Positif atau Negatif?

  1. Zamri Mohamad

    Februari 26, 2008 at 9:25 pm

    Terus- terang, saya pun sebenarnya tidak berapa berkenan dengan cita- cita adik saya yang ketiga ini. Bukan kerana mutu, cabaran, faedah pekerjaan sebagai seorang chef, tetapi bagi saya, sesiapa pun boleh menjadi chef.
    Saya keliru dengan pandangan saudara ini. Kiranya saya tidak menyokong beliau kerana chef itu sesiapa boleh jadi atau si Adib tidak ada bakat?

    Jika ada bakat dan dia sendiri tahu ruang menjadi chef pro, boleh disokong dan disaran.

    Chef adalah bidang berfokus, lihat dari kacamata Adib🙂

     
  2. hartini omar

    Februari 27, 2008 at 7:39 am

    Saya juga menyokong kalau Adib diberi peluang mengikuti bidang masakan. Bukankah anda juga telah berpengalaman mengambil jurusan yang tidak anda minati, lalu akhirnya membiarkan masa berlalu dengan sia- sia? Janganlah membiarkan perkara ini berlaku kepada adik anda pula. Beliau pasti tahu apa yang beliau suka.

     
  3. Che Wan

    Mac 4, 2008 at 10:00 pm

    Apa yang saya faham, Adib ingin menjadi chef bukannya sekadar tukang masak. Ada perbezaan di antara chef dan tukang masak. Menurut Puan Ainon, chef mencipta resipi yang belum ada manakala tukang masak sekadar memasak resipi yang telah ada. Justeru, belum tentu ‘sesiapa pun boleh menjadi chef’. Bagi saya, tidak patut kita memperlekehkan cita-citanya itu.

    Apa yang penting, Adib tahu dan pasti jalan yang dipilihnya. Pastikan yang dia betul-betul berminat dengan bidang itu. Bukan sekadar ikut kawan-kawan atau faktor-faktor lain yang tidak munasabah. Teringat quote dalam satu cerita kartun, “Anyone can cook”. Mungkin benar sesiapa pun boleh memasak. Namun bukan semua orang boleh mencipta resipi. Contohnya saya, adakah dengan sekadar tahu memasak benda asas seperti telur goreng, nasi goreng atau air masak =p, maka saya boleh mendabik dada kepada adik saya lalu berkata, “Tengok, aku pun boleh memasak. Sesiapa pun boleh jadi tukang masak”.

    Adik saya mengambil bidang kulinari. Saya hadiahkannya novel ‘Chef’ karya Zul Desa dan buku ‘Kerjaya dalam Bidang Perhotelan’ sebagai galakan. Novel ‘Ketupat Cinta’ karya Faisal Tehrani juga menarik untuk dijadikan inspirasi. Dalam novel tersebut, setiap bahan-bahan masakan mempunyai maksud tersendiri sehingga bagaimana nama resipi itu tercipta. Selamat berjaya buat Alif dan Adib walau dalam bidang apa pun kalian ceburi.

     

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: