RSS

Nostalgia Zaman Kanak- Kanak

09 Apr

Pada bulan lepas, saya telah pergi ke sekolah rendah saya dahulu, yang kini menjadi sekolah rendah bagi adik yang bongsu pula. Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, itulah namanya.

 

Sempat juga saya berjalan- jalan di dalam sekolah tersebut, nampak pelbagai perubahan. Kalau dulu di bahagian kantin, terdapat sebuah kawasan di mana ia menjadi tempat bagi saya dan rakan- rakan bermain kejar- kejar.

 

Kini, tempat tersebut sudah diletakkan beberapa buah meja dan kerusi bagi mereka yang ingin berehat, makan atau belajar.

 

Saya sempat menjenguk kelas- kelas saya yang lama, ada yang masih lagi digunakan sebagai kelas, ada yang sudah bertukar rupa menjadi sebuah gim dan ada juga kelas yang sudah ditukar menjadi makmal komputer.

 

Saya juga mencari ke mana hilangnya zoo mini yang menempatkan beberapa ekor burung. Sewaktu saya berada di Darjah Lima, zoo mini terletak di sebelah kolam ikan yang mempunyai tiga ekor kura- kura yang menjadi mangsa curi murid- murid sekolah yang nakal.

 

Terdapat juga beberapa ekor ikan berenang tenang di dalam kolam cetek tersebut. Pada hari saya mengunjungi sekolah ini, hanya tinggal kolam dengan air yang perlu diganti.

 

Binatang di dalam kolam? Adalah berudu yang kini mengganti populasi ikan dan kura- kura. Apa jadi kepada zoo mini? Hilang, tiada langsung.       

 

Saya berjalan pula menuju ke tandas yang berdekatan dengan kantin sekolah. Kalau dulu, hendak masuk ke tandas ini pun tidak sanggup kerana aroma dan keadaan tandas yang tidak bersih. Maka, tandas guru menjadi tempat saya melepaskan hajat.

 

Sekarang, saya rasa tandas yang saya tidak sanggup masuk dulu sudah berubah wajah. Cantik, bersih malah terdapat anak pokok yang diletakkan di tepi singki.

 

Di bahagian tapak perhimpunan yang pernah menjadi tempat bagi saya dan rakan- rakan berjemur di bawah pancaran matahari, terdapat perubahan di tempat guru- guru memberi ucapan.

 

Kalau dulu, pokok- pokok bunga hanya diletak di sebelah kiri dan kanan manakala “pentas” guru di tengah- tengah. Sekarang, pokok- pokok bunga dihias indah mengelilingi “pentas”. “Pentas” tersebut mempunyai ukiran dan dibina dengan batuan tals berwarna coklat.

 

Jauh lebih indah daripada zaman persekolahan saya dahulu. Cikgu- cikgu? Ada muka lama dan muka- muka yang saya tidak kenal. Seorang guru yang pernah mengajar saya pelajaran Muzik semasa saya berumur lapan tahun, masih setia lagi di sekolah ini.

 

Sempat bertemu beberapa orang pendidik yang pernah mengajar saya dulu, mereka berkata lihat muka macam kenal tetapi sudah lupa nama. Mestilah, setiap tahun bertemu muka dan nama baru, mestilah mereka mengalami perasaan sebegitu.

 

Ah, indahnya zaman persekolahan dulu. Teringat nostalgia di waktu itu, membuatkan saya ketawa sendirian. Masa tidak akan berputar kembali, ia akan menjadi kenangan yang akan dibawa sampai bila- bila. Rasa rindu pula hendak belajar di sekolah…  

 
Tinggalkan komen

Posted by di April 9, 2008 in Kisah Hidup

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: