RSS

Pentingnya Persefahaman antara Pelajar IPT dan Pengusaha Kafe

14 May

Peningkatan harga beras yang mendadak membuatkan semua pihak terasa kesannya. Bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga. Bayangkan, satu per satu isu yang membebankan rakyat timbul.

Bermula dengan kenaikan harga minyak di seluruh dunia, isu harga tepung gandum yang masih lagi tidak berkesudahan dan kini masyarakat terpaksa menghadapi kenaikan harga beras pula.

Daripada kerajaan yang pening kepala memikirkan jalan penyelesaian terbaik untuk semua, pengusaha makanan dan pengguna juga tidak terlepas daripada merasai bahang kenaikan harga barang- barang ini.

Individu pelajar seperti saya ini juga tidak terlepas daripada merasai “azab” ini. Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), terdapat beberapa kafe yang terpaksa menaikkan harga makanan bagi menampung pelbagai kos pengeluaran seperti membayar sewa, gaji pekerja, harga bahan mentah, minyak dan harga air dan elektrik bagi premis perniagaan mereka.

Sungguhpun begitu, saya amat bersyukur kerana harga makanan di sini masih tidak mencapai  tahap mencekik darah seperti yang terjadi di luar kawasan universiti. Walaupun peningkatan harga makanan berlaku, ia masih di berada tahap sederhana dan tidak terlalu tinggi.

Apa yang saya kesalkan, masih terdapat segelintir pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak tahu bersyukur dengan apa yang ada.

Baru- baru ini, seorang pengusaha kafe di UIAM telah mengadu premis beliau telah “diserang” oleh pihak autoriti universiti kerana mendapat aduan daripada pelajar mengatakan beliau mengenakan caj yang berlebihan ke atas makanan yang dijual.

Setelah perbincangan antara kedua- dua belah pihak, kebenaran terbukti bahawa pelajar tersebut mengambil makanan berlebihan tetapi ingin membayar pada kadar yang minimum.

Lebih menyedihkan, pengusaha tersebut terpaksa membuang tiga orang pekerjanya kerana tidak tahan dengan krisis makanan sekarang. Ditambah pula dengan kafe yang kurang pelanggan kerana ramai pelajar bercuti ketika ini, perniagaan beliau dilihat seolah- olah tidak balik modal.

Memang benar setiap peniaga mengimpikan keuntungan maksimum dan cuba meminimumkan kos pengeluaran. Rambut sama hitam tetapi hati lain- lain.

Terdapat pengusaha makanan yang tidak memikirkan keuntungan semata- mata tetapi menginginkan pelanggan mereka berpuas hati dengan apa yang dibeli mereka.

Tidak semua pelanggan berniat baik. Walaupun pelajar, ada sesetengah daripada mereka sengaja mengambil kesempatan di sebalik keikhlasan orang lain. Seperti kata pepatah bagaikan menangguk di air yang keruh.

Apa yang terbaik adalah pengusaha kantin menaikkan harga makanan sedikit bagi mengharungi krisis makanan yang terjadi masa kini pada kadar yang berpatutan dan tidak terlalu membebankan pelajar.

Bagi pelajar pula, mereka haruslah berjimat- cermat dan pandai menguruskan wang. Jangan disebabkan tiada duit membeli makanan dan buku, pelajar membelanjakan duit pula ke arah sesuatu yang tidak memberi sebarang manfaat umpamanya menonton wayang bersama rakan- rakan.

Malah, pelajar juga seharusnya mengubah mentaliti mereka yang menginginkan semuanya dijual pada harga yang murah.Adalah diingatkan biasanya harga makanan yang dijual di dalam kampus adalah lebih murah jika dibandingkan dengan harga makanan yang dijual di luar.

 
Tinggalkan komen

Posted by di Mei 14, 2008 in Media & Orang Ramai

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: