RSS

Melewati Nostalgia Ramadan

01 Sep

Malam tadi, saya pergi ke Masjid al- Mujahedeen bagi mengerjakan solat terawih. Pukul 9.10 malam baru tiba di sana, agak lewat.

Lewat kerana kami sekeluarga makan lambat, rancangan awal makan sebelum Maghrib tidak jadi kerana terpaksa pergi ke taska ibu atas sebab- sebab tertentu.  

Sampai sahaja di masjid, saya mengambil wudhuk dan terus berjalan menuju ke tikar sembahyang. Sedang dalam perjalanan, saya terlihat seorang pakcik sedang duduk di satu sudut dan memerhati keadaan sekeliling.

Tidak ubah seperti seorang pengawal peribadi kepada VIP. Barulah saya faham sekarang kenapa tiada suara kanak- kanak menjerit dan terpekik terlolong ketika orang tengah solat. Rupanya sudah ada “jaga”. Hehehe.

Pakcik ini merupakan ayah kepada salah seorang rakan saya. Dahulu beliau bekerja di sebuah syarikat swasta, kini apabila sudah pencen beliau memperuntukkan sebahagian masa beliau di masjid ini.

Diimbas kembali sewaktu saya berusia 11 tahun, seperti juga remaja yag seusia dengan saya ketika itu, mempunyai satu sifat utama iaitu kuat bermain.

Pantang leka sedikit, otak ini ligat mencari idea untuk bermain permainan apa, di mana, bentuk permainan yang bagaimana dan pelbagai lagi idea. Tidak kira di mana, asalkan cukup korum, semua permainan boleh berjalan.

Dan salah satu tempat utama kami bermain ialah di masjid ini. Malam itu, kami bermain Kejar- Kejar Duduk. Peraturannya mudah. Seorang perlu menjadi Pengejar dan menyapa sesiapa sahaja di dalam permainan itu untuk menukar tugas menjadi Pengejar.

Satu- satunya cara untuk mengelak daripada jadi Pengejar ialah duduk sebelum Si Pengejar itu sempat melepaskan tugas kepada saudara. Sesudah sahaja duduk, saudara perlu menunggu sehingga rakan yang lain menyapa saudara.

Kalau tiada rakan menyapa saudara, maka pemain itu akan duduk di situ untuk satu tempoh yang lama. Permainan inilah yang kami main pada malam itu.

Sedang saya sibuk bermain dan menjerit sedangkan jemaah sedang bersolat di depan, tiba- tiba terasa seperti ada orang di belakang. Tidak sempat menoleh, dua pukulan hinggap di bahagian punggung.

Sapa suruh buat bising ni? Orang datang masjid nak solat la!” tegas bunyi orang tua itu.

Sakitnya sementara, tetapi selepas kejadian itu kami mengubah strategi. Daripada bermain di dalam perkarangan masjid, kami pilih bermain di luar perkarangan masjid pula.

Tidak sangka, seorang rakan saya dikejar oleh pakcik yang sama memukul saya sehingga tidak cukup tanah beliau lari. Beberapa malam kemudian, barulah kami nampak kelibat rakan ini di masjid. Takut agaknya.

Itu dulu. Sekarang, rakan- rakan pun sudah mempunyai hala tuju masing- masing. Masing- masing sudah tidak lagi beraksi sepertimana kami berumur 11 tahun. Kini, giliran kami pula melihat kanak- kanak lain bermain di sekitar Masjid al- Mujahedeen.

Walaupun kami sudah memasuki peringkat belia, pakcik yang sama masih lagi berada di masjid ini. Menjaga ketenteraman bagi para jemaah menunaikan ibadah kepada Yang Maha Kuasa.

Pakcik inilah “jaga” yang saya maksudkan tadi. Siapa pula yang bakal menjadi mangsa kepada pakcik ini? Hehehe.  

 
Tinggalkan komen

Posted by di September 1, 2008 in Kisah Hidup

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: