RSS

Menghitung Hari, Jam, Minit, Saat, dan Detik

24 Ogo

Pejam celik, pejam celik tidak sangka hari Ahad ini ibu dan adik- adik akan tiba di Malaysia. Hanya pergi selama dua minggu, terasa benar kejapnya.

Dalam masa dua minggu ini, kebanyakan masa diisikan dengan meluangkan masa bersama rakan- rakan sekuliah.

Jarang sungguh untuk saya melakukan perkara sedemikian, namun itulah yang terjadi sepanjang ketiadaan ibu.

Minggu lepas apabila saya pulang ke rumah, masuk dan memberi salam, tiada sesiapa yang menyahut panggilan. Kosong tanpa sesiapa, rasa sunyi saudara.

Biasanya kalau saya balik, kehadiran saya akan disambut dengan jeritan daripada adik- adik, biasanya adik saya yang bongsu.

Saya mempunyai empat orang adik lelaki, namun si bongsu inilah yang selalu memberikan macam- macam kerenah kepada saya.

Umur 10 tahun, tapi perangai seperti seorang bayi berumur sepuluh bulan.

Nakal dan gelaran yang saya berikan kepada beliau adalah ‘Pengacau’ kerana selalu menyibuk dan mengganggu tugas kami.

Pemergian Si Pengacau ke Mekah, membuatkan jiwa saya seperti kosong seketika. Saya rindukan keluarga sebenarnya…

Sekembalinya mereka ke Malaysia, mungkin saya akan merindui kereta ibu pula selepas ini.

Sekarang, kalau hendak ke mana- mana senang. Tidak payah meminta pertolongan teman sebilik, sudah ada kereta pinjam.

Kadang- kadang apabila memandu di jalan raya, ada orang memerhati. Badan kecil, tapi pandu kereta besar.

Dalam kepala mereka, mungkin mereka berfikir “Perniagaan apa yang dia buat? Alah, kereta pinjam sahaja”

Kalau mereka fikir sebegitu, saya menarik nafas lega. Kadang- kadang apabila memandu di dalam kampus, terutamanya apabila memandu di hadapan pelajar perempuan, terasa diri ini besar pula.

Benda- benda sebegini menyebabkan saya hilang kawalan kereta.

Minyak? Sebelum ibu berlepas, beliau memberikan saya RM100 untuk hidup selama dua minggu. Kalau dicongak, memang tidak cukup. Hendak beli makanan, topup duit minyak kereta dan topup kad Touch N Go.

Alhamdulillah saya bekerja separuh masa di PRO UIAM, masih mempunyai ‘bekalan’ lain untuk saya hidup.

Duit gaji yang saya dapat dan duit tuisyen, itulah menjadi duit untuk saya hidup selama ini.

Duit pinjaman dari kerajaan… Sehingga kini saya masih belum dapat menyentuh walau satu sen pun. 

Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum mereka tiba di Malaysia, harap tiada perkara buruk yang terjadi.

Harta pinjam yang saya ada sekarang… Hendaklah digunakan sebaik mungkin sebelum tamat tempohnya.

Asalkan tahu batas untuk setiap perkara, saya pasti tiada kejadian yang tidak diingini akan berlaku. InsyaAllah…

 

 
Tinggalkan komen

Posted by di Ogos 24, 2007 in Kisah Hidup

 

Tinggalkan komen